Monday, December 6, 2010

Doaku Untukmu!!!!

Ahmad dan Ali adalah dua orang sahabat karib dan mereka tinggal berjira. Kedua-dua mereka hidup dalam kesempitan dan kemiskinan. Setelah seharian berusaha, masing-masing akan berdoa. Begitulah kelaziman mereka berdua. Mereka akan singgah di masjid setiap kali habis bekerja untuk solat dan berdoa.

" Apa doamu pada hari ini?" tanya Ahmad kepada sahabatnya. " Aku pinta semoga esok hari aku dimurahkan rezeki. Bulan ini perbelanjaan aku lebih daripada biasa," jawab Ali. "Doa kau?" Ali pula bertanya. Ahmad cuma tersenyum tanpa kata apa-apa.


Keesokan hari, Ali memberitahu Ahmad berita gembira. "Alhamdulillah doa aku dimakbulkan Allah. Majikanku beri bonus pada hari ini." "Alhamdulillah. Hari ini kau berdoa apa pula?" tanya Ahmad.
"Aku berdoa moga isteriku selamat bersalin,"jawab Ali. Mereka berdua pun masuk ke dalam masjid, mengerjakan solat dan masing-masing berdoa.

Sejurus usai berdoa, Ali bertanya, "Kau pula berdoa apa untuk hari ini?" Ahmad tersenyum. Masih tiada jawapan.

Beberapa hari kemudian, Ali memberitahu berita gembira. "Syukur isteriku selamat bersalin malam tadi. Nampaknya doaku makbul, Mad". "Tahniah, Ali". "Aku berdoa juga agar anakku selamat," kata Ahmad dengan wajah muram. "Kenapa dengan anak kau?" "Anakku yang bongsu sakit, Ali. Keadaannya amat membimbangkan." "Insyaallah, kau doalah kuat-kuat sikit. Minta anakmu selamat," kata Ali.

Beberapa hari kemudian, mereka berbual seperti biasa selepas solat. "Bagaimana dengan anakmu?"tanya Ali. "Macam itu juga. Sudah beberapa hari tapi keadaannya cuma bertambah baik sikit sahaja."
"Doa banyak lagi Ahmad. Aku tidak sangka doaku sangat mustajab. Tapi kau..."kata Ali.

"Kenapa dengan aku?" "Mad, aku lihat doamu tidak mustajab."

Ahmad tersenyum. Melihat Ahmad tersenyum, Ali semakin hairan lalu bertanya lagi, "Aku hairan, doa kau tidak makbul tapi kau masih boleh tersenyum?"
"Sebenarnya doaku telah banyak dimakbulkan Allah. Syukur Alhamdulillah." "Doa yang mana? Sebab aku tidak lihat apa-apa perubahan pada kau."

"Doaku sejak dulu hanya untuk kau sahabatku. Setiap hari, aku berdoa agar Allah makbulkan setiap apa yang kau doakan kepadaNya!"

p/s: Doa kita untuk sahabat, saudara-mara dan orang lain sangat tinggi nilainya di sisi Allah. Apatah lagi jika kita berdoa tanpa pengetahuan orang yang kita doakan. Itulah keikhlasan. Sayangnya, ia jarang dibuat oleh kita. Manusia selalu mementingkan diri sekalipun dalam doanya kepada Allah!

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan pesanan anda di sini. Terima Kasih.