Friday, November 23, 2012

Dari Allah datang semuanya


Wang syiling jatuh di hadapan seorang lelaki yg sedang asyik membancuh simen. Melihat logam kecil itu,tangan lelaki itu terhenti melakukan kerja. Tidak menunggu lama,tangannya segera mengutip syiling itu dan dimasukkan ke dalam poketnya.
Dia menyambung semula kerjanya.
Sekali lagi lelaki itu terpandang duit syiling tidak jauh dari sisinya.Lelaki itu menoleh ke kiri,kanan dan disekelilingnya.Tiada siapa yg berdekatan dengannya. Sekali lagi dia terus mengambil syiling itu dan menyimpan dalam koceknya.
Tidak lama kemudian,lelaki itu ternampak lagi duit syiling berdekatan dengannya. Pun sama,dia mengambil dan menyimpannya.
“Rezeki aku!” kata lelaki itu dalam hati.
Lelaki itu tidak sedar,logam syiling itu sebenarnya dicampakkan oleh ketuanya daripada aras lapan bangunan separuh siap yg mereka bina itu.
Sebenarnya ,ketuanya mahu memanggilnya.Ada pesanan yg mahu disampaikan ketuanya itu.Puas ketuanya menjerit daripada aras lapan,cuba memanggil lelaki itu yg berada pada aras paling bawah.
Namun,jeritan itu tidak mampu mengalahkan pelbagai bunyian mesin pembinaan di kawasan tersebut.Dek kerana itulah,ketuanya itu mencampakkan syilingnya dengan harapan lelaki itu akan mendongak melihatnya di atas.Mudah-mudahan,dapatlah dia menyampaikan pesananya kepada pekerjanya itu.
Sayangnya,sehingga habis wang syilingnya dibaling ke bawah,lelaki itu masih belum juga mendongak ke atas.
Lantas,ketuanya itu mengumpulkan serpihan batu kecil yg terdapat di lantai.Satu persatu batu kecil itu dibaling ke bawah.
Beberapa kali batu itu mengenai badan lelaki itu.Setelah merasa sakit dan terganggu,lelaki itu mendongak ke atas,melihat dari mana datangnya batu-batu kecil yg menyerangnya tadi.
Barulah dia ternampak kelibat ketuanya yg sejak tadi cuba mencuri perhatiannya bagi menyampaikan pesanan.


P/s : Sahabat sekalian,kisah ini sekadar tamsilan antara kita dengan Yang Maha Pencipta.Tanpa sedar,Allah sering menjatuhkan ‘syiling’ lambang rezeki,rahmat atau kesenangan yg tidak terkira banyak kepada kita.
Tuhan menjatuhkan ‘syiling’ itu sebagai satu panggilan agar kita sentiasa mendongak ke atas untuk mengingati dan bersyukur dengan kurniaan-Nya.Tetapi,kita acap kali lalai untuk ‘mendongak’ ke atas sebaliknya terus menikmati pemberian-Nya tanpa mengucapkan terima kasih.
Seperti kisah ketua dan pekerja tadi,apabila jatuhan syiling tidak berjaya menarik perhatian,lalu Dia jatuhkan pula ‘batu’ yg berupa musibah,kegagalan,keperitan dan pengalaman yg menyakitkan.
Dan hanya setelah kita merasa kesakitan itu,barulah kita teringat untuk mendongak,menadah tangan bersyukur mengingati Yang Maha Pencipta kita.

Kasih Sayang Allah itu Indah.. ^_^

Kisah ini tidak ada kene mengena yang hidup atau yang mati, sekadar share dari blog sahabat.. hehehe..

Ini adalah sesuatu yang sangat patut aku kongsikan. Semua orang patut sedar perkara ini.


Beberapa bulan yang lepas, aku ditimpakan dengan satu ujian yang hebat. Terlalu hebat.

Aku marah. Aku bengang. Aku membentak.
Aku menangis tidak puas hati. Aku rasakan Dia tidak adil! Aku mempersoalkan kenapa Dia buat aku macam ni? Apa salah aku sampai aku ditimpakan ujian sebesar ni?

Sejak dari kecil, aku dibesarkan serba sederhana. Orang lain hidup mewah, aku hidup kais pagi makan pagi. Aku diasuh dengan supaya sentiasa memandang orang yang dibawah. Tetapi kali ni, aku terus mempersoalkan.

"Kenapa orang itu hidup bahagia? Tanpa masalah? Kenapa orang itu tidak perlu bekerja keras untuk mencari sesuap nasi? Kenapa orang itu mendapat rezeki yang melimpah ruah? Kenapa aku yang masih muda perlu hidup susah? Sungguh tidak adil."

Aku marah dengan Dia. Aku bengang dengan Allah S.W.T, aku memberontak.
Aku buat segala macam kemungkaran. Apa guna iman kalau tak mampu selesaikan masalah aku ni? Selama ni aku taat dengan perintah-Nya, dia timpakan pula aku dengan ujian sebesar ni. Sungguh kejam dan tidak adil!

Semua perkara yang wajib aku biarkan. Solat? Cukup syarat je. Apa yang aku tahu, marah aku tak hilang. Perasaan tidak puas hati aku membuak-buak, semakin lama semakin besar. Aku makin jauh hanyut, lalai terus. Seakan-akan tidak lagi percaya dengan ketentuan-Nya.

Perkara sunat? Jauh sekali. Doa? Huh, tak ada lagi walaupun sedikit keyakinan. Tidak wujud lagi pergantungan kepada Khaliq. Aku seperti tidak ada kepercayaan. Hilang haluan.

Sedikit demi sedikit nikmat aku ditarik. Aku buat tak endah. Aku dah biasa susah. Bukannya akan merubah apa-apa. Hati aku terus memberontak. Masih mempersoalkan kehendak-Nya. Terus dalam kekhilafan. Terus futur.

Aku lalai.

Bila tiba Ramadan, aku berpuasa, seperti orang lain. Aku bersolat, seperti orang lain.
Sehingga pada satu hari, aku tidur di masjid selepas solat Zohor. Memang kepenatan yang teramat. Tanpa niat iktikaf, aku layankan mata dan berbaring di satu sudut masjid.

Mimpi aku waktu itu mengubah hidup aku. Dan pandangan aku tentang ketentuan Dia.

Dalam tidur sepanjang dua jam tu, aku melalui sesuatu yang seakan-akan flashback hidup aku. Tidak perlu untuk aku ceritakan semuanya penuh lengkap, tapi cuma sedikit yang benar-benar aku ingat.

Suatu petang di surau sekolah menengah aku. Aku sedang membaca Al-Quran. Mataku berkaca. Hatiku sebak.

Suatu malam di dorm asrama sekolahku, tempat aku mengambil PMR. Aku sedang bersolat hajat. Aku sedang menangis. Berjujuran air mata. Bergetar seluruh badan.

Dan seterusnya air mata ibu dan bapaku gembira dengan keputusan PMR aku yang cemerlang.

Suatu malam di surau sekolah asrama penuhku, tempat aku mengambil SPM. Aku sedang berdoa. Tidak pasti bila. Yang jelasnya, aku menangis. Teresak-esak. Dan aku sujud dengan linangan air mata.

Dan seterusnya air mata ibu dan bapaku gembira dengan keputusan SPM aku yang cemerlang.

Tiba-tiba aku tersentak, tersedar mendengar azan Asar berkumandang. Subhanallah. Lalainya aku.
Dan aku terus sebak, dengan mata yang berkaca, mengambil wudhu penuh longlai.

Malam itu aku bangun untuk qiamullail. Buat pertama kali selepas dua tahun. Dan malam itu aku minta keampunan daripada Allah dengan sesungguh-sungguhnya. Aku tekup muka dengan tangan. Aku segan dan malu dengan Allah. Selepas semua nikmat yang diberikan oleh Allah, aku sanggup pula berpaling daripada-Nya. Aku persoalkan kehendak-Nya. Aku lupa dimana tempat aku yang sebenar.

Dan aku bersyukur dengan sebenar-benar syukur dengan ujian yang telah Allah timpakan. Rupa-rupanya Allah bukan berlaku tidak adil. Allah bukannya menurunkan ujian ini untuk menghukum aku. Allah sayangkan aku. Lalu buat pertama kali selepas dua tahun, air mata aku jatuh lagi semata-mata kerana-Nya.

Aku rasakan aku tidak lagi layak untuk tinggal di bumi Allah. Tidak layak lagi meminta apa-apa daripada Allah. Kerana terlalu banyak sangkaan burukku kepada Allah. Aku segan. Aku malu. Aku cuma tunduk memandang sejadah.

Aku diberikan kejayaan. Aku diberikan keluarga yang bahagia. Aku diberikan sahabat-sahabat yang baik. Apa lagi yang aku mahukan daripada Allah S.W.T?

Apa lagi yang aku tak puas hati? Sememangnya aku ni hamba yang tak tahu malu. Tak sedar dek untung. Lagi mahu membentak? Lagi mahu mempersoalkan?

Jadi mengapa ujian itu datang? Mengapa ujian itu diturunkan? Kerana ALLAH SAYANG AKU. Kerana Dia suka aku menangis kerana takut kepada-Nya. Menangis kerana rindu akan Rasulullah S.A.W. Seperti dulu.

Allah rindukan waktu aku mengingati-Nya dulu. Waktu quality time kami tidak terganggu. Waktu hidup aku seakan-akan sempurna, walaupun susah. Aku puas.

Tapi sekarang aku kekosongan. Dan aku sedar mana silapnya aku.

Ingatlah sahabat. Muslim yang beruntung adalah mereka yang mengingati Allah pada waktu mereka susah. Tetapi lebih beruntung mereka yang mengingati Allah pada waktu senang.

Ini bukan kisah rekaan. Ini betul-betul berlaku. Hidayah milik Allah. Aku cuma mengingatkan.

Janganlah membentak, siapa kita hendak mempersoalkan kehendak Allah S.W.T? Siapa kita?

Kini hati aku tenang. Walaupun masalah aku berpanjangan. Tapi hati aku puas. Aku masih mampu tersenyum dan berkata, "Alhamdulillah." Mampu faham dan rasa maksud kasih sayang Allah dalam erti kata yang sebenar.

Syukur, Ya Allah, syukur. Kau masih sayangkan aku..
Kerana Dia suka aku menangis.

" kisah seorang Hamba Allah "