Friday, June 7, 2013

Fikirlah..:)


Memang fitrah setiap manusia cukup senang dan puas hati sekiranya ada orang memujinya seperti, "Awak ni, baiklah" dan sebagainya. Tetapi, bagaimana pula kalau sebaliknya? Tentu ramai yang tidak senang hati dan sekaligus menganggap orang yang tidak memujinya itu adalah musuhnya.

Nampaknya kebanyakan manusia hari ini terlalu ghairah dan leka dengan pujian dan sanjungan sedangkan itu semua merupakan satu jalan yang memudahkan seseorang itu terjun ke neraka Allah S.W.T. Lebih parah lagi, ada di antara manusia hari ini merasakan dirinya baik, malah lebih baik dan lebih mulia daripada orang lain. Atas alasan dan perasaan demikianlah mereka kini menilik kelemahan orang lain, selalu menganalisa orang lain, selalu nampak kesalahan orang dan selalu merasakan orang lain dalam dosa dan noda. Alangkah tertipunya mereka yang bersikap demikian tanpa mereka sedari rupa- rupanya sifat sombong dan angkuh menguasai diri dan jiwa mereka. Ia kini telah berjaya diperdayakan oleh nafsu ammarahnya.

Jalan yang selamat untuk menjaga amal ibadah yang telah dilakukan sekian lama seperti sembahyang, puasa, sedekah, menutup aurat dan sebagainya ialah dengan memiliki sifat-sifat yang terpuji, umpamanya seringkali merasakan diri bergelumang dengan dosa dan maksiat, sering merasakan ia melakukan kesilapan dan kesalahan samada sesama makhluk mahupun dengan Allah. Sikap selalu menganalisa diri sendiri dan merenung keaiban diri (muhasabah diri), itu adalah satu sikap yang sewajarnya dimiliki oleh hamba-hamba Allah yang cintakan Allah, yang kasihkan Rasulullah, yang rindukan syurga Allah dan yang gerunkan Neraka Allah S.W.T.

Jangan sekali-kali termasuk ke dalam golongan orang yang mengaku dirinya sudah baik tetapi jadilah orang yang bercita-cita untuk membuat kebaikan sebanyak yang mungkin, selalulah merasakan diri tidak baik lagi dan paling tidak sempurna amal dan tingkahlaku jika dibandingkan dengan orang lain. Untuk meningkatkan keimanan dan keyakinan pada Allah S.W.T dari satu waktu ke satu waktu, muhasabah diri adalah suatu perkara yang sangat bernilai dan penting sekali. Kita sepatutnya seringkali mengukur sejauh mana ketaatan yang telah kita lakukan terhadap Allah dan dosa apakah yang kerapkali kita lakukan terhadap-Nya.

Bagi hamba Allah yang benar-benar waras fikirannya ia jarang sekali menyalahkan orang lain sekiranya ia dipersalahkan. Andainya ia benar- benar bersalah ia akan bertaubat dan membuat perubahan diri, sekiranya ia tidak bersalah ia berlapang dada dan berkata kepada hati kecilnya, "Tak apalah, ini ujian untukku dan mungkin ini suatu penghapusan dosa buatku." Bagi orang yang rosak hatinya, sekiranya ia melakukan kesalahan ia takut untuk mengatakan yang hak, ia tidak mahu mengakui bahawa dirinya bersalah dan ia tetap mempertahankan bahawa dirinya tidak pernah menyakiti hati orang lain. Ingatlah, hati yang tidak baik akan melahirkan kelakuan yang buruk, ianya akan menjadi racun dalam hidup dan membahayakan masyarakat serta alam sejagat.

Masalah hati tiada siapa yang tahu seperti kata pepatah, " Dalam laut dapat diduga, dalam hati siapa yang tahu." Yakinlah bagaimana pandainya manusia menutupi kejahatan hatinya, lambat laun Allah akan menampakkan juga apa yang tersimpan dalam lubuk hatinya. Seseorang itu tidak layak mendapat gelaran hamba Allah yang baik dan yang suci hatinya selagi ia:

1. Tidak mentaati perintah Allah denagn bersungguh-sungguh.
2. Tidak meninggalkan larangan-larangan Allah.
3. Tidak menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji.
4. Tidak mengikiskan diri daripada sifat-sifat tercela.

Bercita-citalah kita untuk menjadi hamba yang baik sesuai dengan tuntutan-Nya dan Rasul-Nya. Baik dari segi amal dan kelakuan, baik hati dan halus tuturkata sesama insan. Hendaklah berusaha sedaya upaya menghapuskan penyakit hati yang merosakkan diri seperti hasad dengki, pemarah, iri hati, jahat sangka dan sebagainya. Beramallah semata-mata mengharapkan redha Allah bukan untuk riak dan sombong. Jagalah lidah kita daripada mengeluarkan tuturkata yang dapat mencacatkan persahabatan dan tali persaudaraan. Jagailah tuturkata agar ianya tidak melukai hati orang lain. Ingatlah ; tutur kata yang mengandungi racun yang berbisa seperti melemparkan fitnah, memperli dan menyindir orang lain, mencari-cari kesilapan orang lain untuk dijadikan bahan yang membolehkan dirinya dapat mengambil keuntungan dan publisiti di dalamnya, mestilah dijauhi.

Firman Allah dalam Surah Fussilat ayat 46, maksudnya:

"Barangsiapa yang mengerjakan amal yang baik, maka kebaikan itu untuk dirinya sendiri. Barangsiapa yang berbuat jahat maka kejahatannya itu untuk dirinya sendiri dan sekali-kali tidaklah Tuhanmu menganiayai hambanya.; Oleh itu, berazamlah kita semua termasuklah saya sendiri untuk menjadi hamba Allah yang baik, yang mulia di sisinya kelak, dan bercita-citalah mengatur langkah untuk terus memburu kasih sayang dan redha Allah. Semoga Allah menerima kita semua sebagai hamba-hambanya yang berhak mendapat kedudukan yang mulia di sisi Nya kelak. ".

~sEBagaI peRiNgataN uNtUk kIta beRsaMa~

Friday, November 23, 2012

Dari Allah datang semuanya


Wang syiling jatuh di hadapan seorang lelaki yg sedang asyik membancuh simen. Melihat logam kecil itu,tangan lelaki itu terhenti melakukan kerja. Tidak menunggu lama,tangannya segera mengutip syiling itu dan dimasukkan ke dalam poketnya.
Dia menyambung semula kerjanya.
Sekali lagi lelaki itu terpandang duit syiling tidak jauh dari sisinya.Lelaki itu menoleh ke kiri,kanan dan disekelilingnya.Tiada siapa yg berdekatan dengannya. Sekali lagi dia terus mengambil syiling itu dan menyimpan dalam koceknya.
Tidak lama kemudian,lelaki itu ternampak lagi duit syiling berdekatan dengannya. Pun sama,dia mengambil dan menyimpannya.
“Rezeki aku!” kata lelaki itu dalam hati.
Lelaki itu tidak sedar,logam syiling itu sebenarnya dicampakkan oleh ketuanya daripada aras lapan bangunan separuh siap yg mereka bina itu.
Sebenarnya ,ketuanya mahu memanggilnya.Ada pesanan yg mahu disampaikan ketuanya itu.Puas ketuanya menjerit daripada aras lapan,cuba memanggil lelaki itu yg berada pada aras paling bawah.
Namun,jeritan itu tidak mampu mengalahkan pelbagai bunyian mesin pembinaan di kawasan tersebut.Dek kerana itulah,ketuanya itu mencampakkan syilingnya dengan harapan lelaki itu akan mendongak melihatnya di atas.Mudah-mudahan,dapatlah dia menyampaikan pesananya kepada pekerjanya itu.
Sayangnya,sehingga habis wang syilingnya dibaling ke bawah,lelaki itu masih belum juga mendongak ke atas.
Lantas,ketuanya itu mengumpulkan serpihan batu kecil yg terdapat di lantai.Satu persatu batu kecil itu dibaling ke bawah.
Beberapa kali batu itu mengenai badan lelaki itu.Setelah merasa sakit dan terganggu,lelaki itu mendongak ke atas,melihat dari mana datangnya batu-batu kecil yg menyerangnya tadi.
Barulah dia ternampak kelibat ketuanya yg sejak tadi cuba mencuri perhatiannya bagi menyampaikan pesanan.


P/s : Sahabat sekalian,kisah ini sekadar tamsilan antara kita dengan Yang Maha Pencipta.Tanpa sedar,Allah sering menjatuhkan ‘syiling’ lambang rezeki,rahmat atau kesenangan yg tidak terkira banyak kepada kita.
Tuhan menjatuhkan ‘syiling’ itu sebagai satu panggilan agar kita sentiasa mendongak ke atas untuk mengingati dan bersyukur dengan kurniaan-Nya.Tetapi,kita acap kali lalai untuk ‘mendongak’ ke atas sebaliknya terus menikmati pemberian-Nya tanpa mengucapkan terima kasih.
Seperti kisah ketua dan pekerja tadi,apabila jatuhan syiling tidak berjaya menarik perhatian,lalu Dia jatuhkan pula ‘batu’ yg berupa musibah,kegagalan,keperitan dan pengalaman yg menyakitkan.
Dan hanya setelah kita merasa kesakitan itu,barulah kita teringat untuk mendongak,menadah tangan bersyukur mengingati Yang Maha Pencipta kita.